11 TIPS PRAKTIKAL URUS KEWANGAN UNTUK BISNES KECIL
Sama ada kita buat bisnes besar atau kecil, prinsipnya tetap sama. Kewangan bisnes mesti diuruskan dengan baik.
Seringkali bisnes kecil seperti penjaja atau penjual gerai tidak menguruskan kewangan dengan baik. Banyak bisnes online kecil-kecilan gagal uruskan kewangan secara sewajarnya.
Kegagalan menguruskan kewangan ini mempunyai implikasi besar. Kita tidak tahu berapa untung dan rugi. Akibatnya, kita ingat bisnes untung besar dan mula belanja sakan.
Selain itu sekiranya kita nak buat pinjaman membesarkan bisnes nanti, kita tak ada rekod yang teratur. Susah nak buat pinjaman.
Di sini saya berikan 11 tips praktikal bagaimana menguruskan rekod kewangan untuk bisnes kecil sebegini.
1. Buka akaun bank untuk bisnes. Usah campur-aduk dengan akaun peribadi. Semua pendapatan bisnes dimasukkan dalam akaun bank. Mulakan disiplin pengurusan kewangan walaupun bisnes kita masih kecil.
2. Beli satu fail dan failkan semua resit dan dokumen kewangan. Usah simpan dalam envelope, nanti hilang.
3. Kemaskinikan fail kewangan setiap hari. Usah tunggu esok atau lusa. Sebahagian besar masalah pengurusan kewangan bisnes kecil ini ialah usahawan tidak ada motivasi menguruskan wang (sebab jumlah tak besar!)
4. Catatkan semua kos bahan mentah. Jika jual nasi lemak, catatkan kos beli beras, telur, daging, ikan bilis, sayur dan sebagainya. Selepas catat, simpan resit dalam fail.
5. Catat juga kos operasi seperti minyak motorsikal, tol, elektrik, gas, top up telefon, bil internet dan sebagainya. Sekiranya kos ini digunakan untuk tujuan peribadi, buat anggaran bahagian yang digunakan untuk bisnes. Catat, kemudian simpan resit. Masukkan juga upah kepada anak yang bantu kerja kita. Itu juga kos.
6. Catat jualan setiap hari. Sebaik tutup gerai, terus kira jualan dan rekodkan. Usah tunggu esok. Atau, lusa. Nanti lupa.
7. Jumlahkan JUALAN (nombor 6 di atas) selama 30 hari buat bisnes. Jumlahkan KOS (campur nombor 4 dan 5 di atas) selama 30 hari buat bisnes. Ini ialah kos dan jualan bisnes selama sebulan.
8. Tolak kos dari jualan, itulah PENDAPATAN bisnes satu bulan. Bahagikan jumlah pendapatan ini dengan jumlah 30 hari dan itulah purata pendapatan harian bisnes.
9. Berdasarkan pendapatan harian tersebut, ambil tidak lebih 50% dari jumlah itu sebagai GAJI kita. Katakan purata pendapatan harian bisnes kita ialah RM300, ambil setakat RM150 saja untuk setiap hari bekerja sebagai gaji. Selebihnya digunakan untuk menampung kekurangan jualan harian atau dilaburkan semula sebagai modal membesarkan bisnes.
10. Usah ambil wang bisnes sesuka hati. Hadkan setakat "gaji" berdasarkan formula (nombor 9) di atas. Kalau tak cukup duit nak beli barangan keperluan keluarga, itu maksudnya ia di luar kemampuan. Ikat perut dulu untuk sementara waktu. Usah curi duit bisnes.
11. Pada peringkat permulaan, buat sendiri kesemua perkara di atas supaya kita faham cara uruskan kewangan bisnes. Apabila bisnes berkembang sikit nanti, barulah serahkan kepada adik, suami/isteri untuk bantu. Atau, ambil kerani akaun.
Ingat, pengiraan akhir bisnes ialah untung-rugi. Kalau masak nasi lemak sedap tapi tak tahu untung-rugi, itu bukan bisnes!
No comments:
Post a Comment